KUALA LUMPUR 19 Jan. – Aspek sensitiviti rakyat serta ketegasan pihak berkuasa perlu diseimbangkan dalam usaha membendung sebarang tindakan mempersendakan agama Islam di negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan, sekiranya rakyat sahaja yang sensitif untuk bangun menentang tindakan mempersenda Islam tetapi tiada ketegasan pihak berkuasa, ia akan menjadi sia-sia.
Tegas beliau, pihak berkuasa tidak boleh menganggap tindakan mempersenda agama sebagai sesuatu yang remeh tetapi sebaliknya, perlu mengambil tindakan lebih tegas bagi memberi pengajaran kepada semua.
“Kita perlu lebih sensitif dan berhati-hati dan sekiranya perlu kita mesti ambil tindakan tegas. Kadang-kadang kita merayu kepada rakyat untuk lebih sensitif tanpa apa-apa tindakan pun.
“Saya rasa tidak boleh juga. Jadi pihak berkuasa kena melihat dengan serius perkara ini. Kita perlu sensitif terhadap satu sama lain. Jangan kita anggap perkara ini remeh,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Perlumbaan Basikal OCBC Cycle 2014 di sini hari ini.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan mempersenda kesucian Islam pasca pilihan raya umum oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab membabitkan pelbagai isu terutama berkenaan penggunaan kalimah Allah serta pemakaian tudung.
Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sensitiviti dalam kalangan rakyat boleh dilihat menerusi insiden membabitkan seorang guru mualaf yang dipaksa membuka tudung jika ingin terus mengajar di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) sebelum ini.
Beliau berkata, isu berkenaan mendapat perhatian selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda UMNO sendiri bersuara sehingga memaksa si pelaku meminta maaf kepada mangsa.
“Selepas Pemuda UMNO dan NGO-NGO lain bersuara barulah dia meminta maaf, kita tidak mahu panjangkan isu ini. Guru tersebut juga telah meminta maaf dan mangsa pun sudah menerima permohonan maaf itu,” ujarnya.
Sementara itu, dalam isu berasingan, Khairy memberitahu, Pemuda UMNO bersedia membantu membawa pulang pasangan warga Malaysia, yang ditahan polis Sweden setelah didakwa memukul anak mereka kerana enggan bersolat bersama keempat-empat anak mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, pergerakan berkenaan akan merujuk pihak Wisma Putra terlebih dahulu kerana isu berkenaan adalah tertakluk kepada undang-undang di Sweden.
“Kita dalam proses mendapat maklumat dari Kementerian Dalam Negeri dan saya meminta Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO untuk merujuk kepada Wisma Putra dalam perkara ini.
“Namun begitu, kita masih menunggu jawapan dari Wisma Putra apakah langkah seterusnya kerana ia melibatkan undang-undang Sweden,” katanya.
Article source: http://regional.kompas.com/read/2013/01/03/02452412/Banyak.Dosen.Lulusan.S-1.Mahasiswa.Bone.Ngamuk
Sensitiviti rakyat, ketegasan pihak berkuasa perlu seimbang - Khairy
0 comments :
Post a Comment