Friday, October 18, 2013

Festival Kesenian, Kebudayaan Islam Antarabangsa sasar 500000 pengunjung

PUTRAJAYA 18 Okt. – Perbadanan Putrajaya (PPj) menyasarkan lebih 500,000 pengunjung akan memeriahkan Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACuF2013) yang pertama kali diadakan di sini pada awal bulan hadapan.


Festival tersebut yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 1 November ini bertujuan menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sebagai pusat kegemilangan kesenian dan kebudayaan Islam alaf baru.


Presidennya, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat berkata, tema festival tersebut iaitu ‘Dari Andalusia ke Putrajaya’ merupakan fokus utama penganjuran acara tersebut bagi memberi gambaran kegemilangan dan kehebatan tamadun Islam di Sepanyol itu satu ketika dahulu.


“Festival kesenian ini akan diadakan di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini dengan menggabungkan pelbagai aktiviti seperti persidangan seni bina dan alam bina antarabangsa, pameran kesenian Islam antarabangsa dan lelongan yang melibatkan 60 karya seni dan tayangan sebanyak 20 filem Islam antarabangsa.


“Selain itu, terdapat juga Forum Islam Antarabangsa Putrajaya dengan melibatkan seramai 10 tokoh Islam terkenal dari dalam dan luar negara serta gerai jualan produk barangan Islam dan konsert kesenian Islam,” katanya pada majlis Prapelancaran PIIACuF2013 di Taman Botani di sini semalam.


Menurut Aseh, elemen utama penganjuran festival itu meliputi pameran era kegemilangan ketamadunan Islam dari Andalusia sehingga ke rantau nusantara.


Katanya, kemuncak acara tersebut adalah konsert PIIACuF 2013 yang akan diadakan pada 9 November ini dengan menampilkan pelbagai genre muzik Islam.


Aseh berkata, antara artis yang akan menjayakan konsert itu ialah Maher Zain, Opick, Zain Bhikha, Reaf, M. Nasir, Ramli Sarip, Raihan dan In-Team.


“Festival ini akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma, untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.ppj.gov.my atau www.piiacuf.com,” katanya.



Article source: http://sidomi.com/191535/isra-miraj-sby-kirim-pesan-untuk-umat-islam-indonesia/


Festival Kesenian, Kebudayaan Islam Antarabangsa sasar 500000 pengunjung

0 comments :

Post a Comment