Tuesday, July 2, 2013

Belajar al-Quran secara berirama

BAGI individu yang dianugerahkan dengan IQ yang tinggi mungkin tidak ada masalah untuk mempelajari dan menguasai al-Quran.


Tetapi, ada kelompok yang mempunyai kesukaran dan terpaksa mempelajarinya secara berulang-ulang kali.


Itulah yang dialami oleh golongan saudara baru atau mualaf dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti autistik, hiperaktif dan cacat pendengaran dalam mempelajari kitab suci umat Islam itu.


Namun, tidak sempurna bagi individu yang bergelar Muslim jika tidak tahu membaca ayat-ayat yang terkandung dalam al Quran.


Justeru, Pengarah Pusat Kajian al-Quran, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusof berkata, kaedah mempelajari al-Quran dengan berpandukan irama dan gerak tubuh mampu meningkatkan kebolehan golongan tersebut dalam mengenal huruf dalam masa singkat.


Ini berdasarkan penilaian awal yang dilakukan pihaknya melalui Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) dengan kerjasama Masjid Tun Abdul Aziz terhadap mualaf dan golongan istimewa tersebut.


“Kita melihat, bukan sahaja kanak-kanak tetapi orang dewasa dan juga semua lapisan masyarakat mudah tertarik dengan rentak lagu. Mengambil kaedah interaktif itu sebagai perantara, kita yakin al-Quran akan mudah dipelajari.


“Menggunakan rentak seperti selawat dan irama yang mudah dan sering dialunkan membuktikan keberkesanannya apabila penilaian awal yang kita lakukan terhadap golongan mualaf, kanak-kanak autistik, hiperaktif dan cacat pendengaran menunjukkan perkembangan positif.


“Ini berbeza dengan kaedah pembelajaran secara biasa yang diajarkan kepada mereka sebelum ini selama hampir dua tahun tetapi kesannya kurang memberangsangkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan seminar pengenalan pembelajaran al-Quran kaedah al-Jabari di Universiti Malaya, baru-baru ini.


Kata Zulkifli, kaedah tersebut yang dipanggil teknik ‘Titian Ingatan’ itu menjadi kekuatan kepada teknik pembelajaran al-Quran di samping dapat menguasai kitab suci itu dalam masa hanya 30 jam.


Tambahnya, pembelajaran al-Quran dengan cara berhibur menerusi pendekatan Al-Jabari diyakini mampu mengubah golongan buta huruf kepada celik al-Quran dengan hanya mengikuti kelas pertama.


“Masih terdapat sebilangan besar umat Islam yang lemah atau buta al-Quran. Bukan sahaja golongan mualaf dan OKU, malah masyarakat Islam keturunan sejak lahir.


“Ada juga yang mengakui telah belajar bertahun-tahun. Namun, tidak mampu mengenal huruf, apatah lagi menguasai bacaan, tulisan dan tajwid dalam al-Quran.


“Dengan kaedah ‘Titian Ingatan’ ini, masyarakat boleh mempelajari al-Quran dengan kaedah mudah. Hanya mengikuti pembelajaran dalam satu jam atau kelas pertama,” katanya.


Al-Jabari merupakan program pembelajaran al-Quran cara mudah dalam 30 jam yang diasaskan di Indonesia.


Meliputi tiga kaedah utama iaitu pembacaan, penulisan dan asas tajwid dengan mensasarkan kumpulan yang lemah serta yang ingin mempelajari al-Quran dengan pantas.


Mengulas lanjut,Ketua Tenaga Pengajar Kaedah Al-Jabari, Malaysia, Sharifah Md. Noor berkata, kaedah itu menggabungkan kaedah penyerapan, pengekalan dan ingatan untuk memudahkan proses pembelajaran dalam masa singkat.


“Sistem ini berpandukan irama selawat Badar untuk membaca huruf tunggal dan huruf-huruf sambung.


“Ini bagi memudahkan pelajar mengenal, menyerap sekali gus mengingati kalam Allah SWT itu dengan pantas.


“Setelah itu, pelajar akan didedahkan pula dengan penerapan penulisan dan ilmu tajwid bagi memastikan pelajar dapat menguasai al-Quran dengan qiraat (bacaan) dan fasohah (bacaan jelas dan bertajwid) yang tepat dengan Rasm Uthmani,” katanya.


Kesan positif


Sharifah berkata, kaedah ini terbukti berkesan apabila beberapa pelajarnya termasuk golongan mualaf dan pelajar istimewa berjaya menguasai al-Quran dalam tempoh yang ditetapkan.


“Beberapa pelajar saya, iaitu mualaf daripada Filipina yang telah lama masuk Islam, tetapi tidak tahu langsung membaca al-Quran, walaupun huruf alif, ba dan ta.


“Setelah menjalani kursus Baca Tulis al-Quran (BTQ) selama 30 jam, mereka boleh membaca al-Quran berserta tajwid malah boleh menulis dengan baik,” katanya.


Sementara itu katanya, ujian sama yang dilakukan terhadap sekumpulan pelajar berumur enam hingga 12 tahun yang tidak tahu membaca al-Quran dengan mengikuti kursus al-Jabari membuktikan mereka mampu membaca dan menulis.



Article source: http://metropolitan.inilah.com/read/detail/2005957/bulan-ramadhan-jam-kerja-pns-dikurangi


Belajar al-Quran secara berirama

0 comments :

Post a Comment