Sunday, September 8, 2013

RM80,000 disumbang dalam Konsert Pray 4


 


BANGI: ‘Konsert Pray 4′(Gaza, Syria, Mesir dan Rohingya) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam) yang berlangsung malam tadi berjaya mengutip RM80,000 hasil sumbangan orang ramai.


Konsert yang sepatutnya bermula tepat jam enam petang terpaksa dilewatkan kerana hujan lebat mulai turun kira-kira jam 5.30 petang.


Program dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang dimamkan oleh Imam Muda Ashraf di tengah-tengah hujan renyai-renyai.


Kemudian diikuti solat hajat untuk umat Islam di Gaza, Syria, Mesir dan Rohingya yang sedang berdepan dengan konflik yang membimbangkan.


Lebih 100 artis menyatakan solidariti mereka dalam Konsert Pray 4 Gaza, Syria, Mesir dan Mynamar yang berlangsung malam tadi di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Bandar Baru Bangi.


Konsert yang bermula kira-kira jam 9.00 malam, dimulakan dengan persembahan pentomin daripada empat artis wanita iaitu Yatt Hamzah, Heliza Helmi, Diana Amir dan Salima Habibi.


Aris Ariwatan turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagunya yang tidak asing lagi iaitu ‘Permaidani’.


Kira-kira 50 artis termasuk selebriti membuat persembahan antaranya, Hijaz, Saujana, Far East, Unic, Seedrain, Muadz, Ammar Hamdan, Mestica, Kumpulan Laksamana, Abon, Ali Mamak dan Hafiz Hamidon.


Walaupun hujan masih turun dan padang turut becak, namun orang ramai terus berpusu-pusu masuk ke padang untuk mengikuti forum yang dibarisi oleh tiga orang panel iaitu Naib Presiden Ilmam Syed Abdul Kadir Al Jofree, Ustaz Zamri Mantop dan Imam Muda Hassan, moderator pula adalah Amin Idris.


Konsert yang berakhir jam 12 tengah malam ini dianjurkan adalah untuk menyatakan solidariti keprihatinan bersama seluruh rakyat Malaysia dan dunia terhadap penindasan kekejaman yang berlaku di bumi umat Islam.


Menurut pengarah program tersebut, Mohd Fauzan Madzlan, program ini memilih simbol empat jari, bukan hanya sinonim dengan lokasi Rabiah Adawiyyah di Mesir tetapi diluaskan kepada pergolakan di Gaza, Syria dan Rohingya.


Gaza sedang disekat oleh Israel, Syria sedang berperang antara rakyat dan kerajaannya, Mesir pula sedang bergolak ekoran rampasan kuasa oleh tentera manakala umat Islam Rohingya di Myanmar sedang dikhianati oleh negara dan jiran-jiran mereka.


Program anjuran Ilmam ini telah mendapat beberapa sokongan dan tajaan daripada beberapa pihak seperti Muslim Care, MPKj, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan banyak lagi.


Penganjur turut melancarkan kutipan sumbangan daripada para hadirin yang hadir untuk disalurkan kepada umat Islam di keempat-empat negara itu yang sedang berdepan dengan kezaliman zionis.


Article source: http://www.tribunnews.com/sport/2013/08/14/tontowi-ahmadliliyana-natsir-cerminan-keberagaman-di-indonesia


RM80,000 disumbang dalam Konsert Pray 4

0 comments :

Post a Comment