FATHUL BARI
SYIAH yang ada di Malaysia adalah Syiah Imam 12 yang akidahnya sesat bahkan orang yang beriktikad dengannya boleh terkeluar dari Islam.
Syiah berasal dari agama Yahudi, permusuhan mereka dengan Islam telah cukup lama. Musuh utama mereka adalah sahabat Nabi SAW kerana mereka inilah yang menyebar dan berhempas pulas mempertahankan kesucian Islam, diikuti generasi tabi’in, tabi’ tabi’in dan yang mengikuti jalan mereka hingga hari kiamat, yang disimpulkan sebagai Salaf Al-Soleh.
Sebab itu pelbagai tohmahan dilemparkan oleh Syiah terhadap golongan ini. Apabila Islam tersebar luas, musuh bertambah dengki dan sakit hati. Kumpulan orang-orang Yahudi ini berpura-pura masuk Islam, dipelopori oleh Abdullah bin Saba’ bertujuan merosak pemikiran umat Islam dan menyebar akidah kufur atas nama Islam, supaya orang yang tidak tahu akidah Islam sebenar akan terpedaya.
Mereka mempergunakan Ali bin Abi Talib ra dan keturunannya, mendakwa mencintai Ahlul Bait, memperjuangkan hak Ali dan memuja keturunannya secara berlebihan.
Dalam kitab Syiah, Abdullah bin Saba’ berkata, “Sesungguhnya umat (para sahabat) telah menzalimi Ali bin Abi Talib dan merampas haknya iaitu sebagai khalifah dan imamah.” Abdullah bin Saba’ terus mengajak manusia untuk menolong Ali, dan tidak taat kepada Khalifah Osman bin Affan, dan menarik bai’at dari Osman.
Banyak orang Mesir terpengaruh oleh pemikiran ini lalu membelot dari Osman. (Sejarah Syiah, Raudhatu Al-Safa). Ini mengakibatkan timbul fitnah, rakyat keluar dari ketaatan kepada Khalifah Osman sehingga terjadi pembunuhan khalifah itu.
Kekuatan Islam menjadi lemah, penaklukan negara Islam terhenti, kaum Muslimin berbunuhan sesama sendiri dan kesannya berterusan hingga hari ini di mana umat Islam terus berbalah dan berbunuhan sesama sendiri dan hilang kekuatan menentang kafir.
Kebencian dan dendam terhadap sahabat dan isteri Nabi ditanam dalam pemikiran umat Islam. Mereka juga mempromosikan akidah Yahudi iaitu Imamah yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis sahih.
Ali bin Abi Talib dan ahli bait sendiri berlepas diri daripada mereka dan menghukum mereka dengan hukuman yang keras sewaktu hidup mereka. Namun hakikat ini tidak diketahui oleh kaum Muslimin sehingga muslihat Yahudi ini berjaya mempengaruhi sebahagian besar orang Islam.
Syiah dan kebohongan tidak dapat dipisahkan, bahkan agama Syiah bermula dengan kebohongan. Mereka menamakannya ‘taqiyah’ iaitu memperlihatkan suatu berbeza dari apa yang mereka rahsiakan. Taqiyah (berbohong) ini termasuk sebahagian agama Syiah dan diwajibkan atas mereka.
Sejak sekian lama mereka mengajak umat Islam bersatu dan berlapang dada dengan mereka. Mereka menyeru Ahli Sunnah wal Jamaah supaya dekat dengan mereka. Mereka melakukan usaha taqrib (mendekatkan) antara Sunni dan Syiah. Sedihnya seruan ini disambut oleh sebahagian orang Islam.
Tujuan mereka tidak lain kecuali supaya orang Islam cenderung kepada mereka, meninggalkan akidah dan kepercayaan terhadap ALLAH, RasulNya, isteri-isteri dan para sahabat Nabi yang mulia, lalu mengikuti pemikiran dan kesesatan yang disusun oleh Yahudi ini, na’uzubillah.
Mereka menggunakan slogan yang baik iaitu “bersatu” tetapi yang mereka kehendaki adalah kebatilan. Dalam Islam, bersatu hanya dibolehkan jika pihak yang berselisih kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Ini seperti mana firman ALLAH, “Dan sekiranya kamu berselisih terhadap suatu urusan, kembalikanlah kepada ALLAH dan RasulNya (al-Quran dan Sunnah).” (Surah Al-Nisa: 59)
Seruan bersatu bukan suatu yang baharu. Orang kafir Quraisy pada zaman Rasulullah SAW meminta Rasulullah supaya jangan memecahbelahkan umat. Agama yang dibawa oleh Baginda dikatakan agama pemecah belah umat. Namun kebenaran tidak mungkin bersatu dengan kebatilan.
Rasulullah SAW bersabda atas perintah ALLAH, “Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat, dan tidak sama kegelapan dengan cahaya. Tidak sama yang teduh dengan yang panas, dan tidak sama orang yang hidup dengan orang yang mati.
Sesungguhnya ALLAH memberi pendengaran kepada siapa yang dikehendakiNya, dan kamu sesekali tidak dapat menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar.” (Fathir: 19-22)
*Penulis ialah Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia
Article source: http://www.wowkeren.com/berita/tampil/00041870.html
Taqiyah Syiah berlapang dada
0 comments :
Post a Comment