Muhamad Daniel menunjukkan rumah tempat dia sekeluarga menyewa.
PORT DICKSON – “Saya sudah mula tertarik dengan islam sejak usia lapan tahun. Sejak itu juga saya mula belajar puasa setiap Ramadan,” demikian menurut saudara baru, Muhammad Daniel Chan Abdullah, 17.
Muhammad Daniel berkata, semasa di sekolah menengah, dia mengambil keputusan untuk mempelajari subjek Agama Islam berbanding Pendidikan Moral untuk terus memahami Islam dengan lebih mendalam.
“Masa tingkatan tiga, saya beranikan diri beritahu ayah dan ibu nak masuk Islam. Saya sangat bersyukur mereka tak marah malah merestui.
“Dengan bantuan guru, akhirnya saya dapat lafazkan Syahadah dan lebih menggembirakan lagi apabila ibu, Sofiya Siswagi, 48, dan adik lelaki bongsu saya berusia 12 tahun turut memeluk Islam pada hari Maal Hijrah lalu di
Pejabat Agama Port Dickson,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Muhammad Daniel, walaupun ayah, kakak serta seorang lagi adiknya masih belum memeluk Islam, namun dia masih mengharapkan agar mereka turut mendapat hidayah ALLAH SWT.
“Ayah sekarang berusia 55 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit. Sebelum ini ayahpernahberitahu dia tertarik dengan Islam dan sedang berfikir untuk mengikut jejak langkah kami (memeluk Islam).
“Saya sangat gembira dengan penerimaan ayah yang sangat positif dan harap dia segera bersama-sama kami hidup dalam suasana Islam,” katanya.
Muhammad Daniel berkata, sejak dua tahun memeluk Islam, dia tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak, namun Masjid Jamek Port Dickson ada menyumbangkan bantuan kepadanya sempena sambutan Aidilfitri lalu sebanyak RM350.
“Saya tak mahu kesukaran sebagai saudara baru dirasai oleh emak dan adik. Saya ada buat kerja sambilan di sebuah kedai makan untuk menampung perbelanjaan rumah dan sekolah adik-adik.
“Sekarang ini kami sekeluarga masih tinggal bersama. Ayah tinggal di tingkat atas, manakala kami tinggal di tingkat bawah rumah kedai yang disewa RM800 sebulan.
“Ayah juga banyak membantu tetapi pendapatannya juga tidak cukup untuk menampung kami sekeluarga.
“Saya amat berharap ada pihak dapat membantu kami memandangkan ibu hanyalah seorang suri rumah,” katanya yang baharu selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kolej Vokasional Port Dickson.
Article source: http://www.gatra.com/fokus-berita/19788-menghina-islam-lewat-game.html
Minat Islam sejak usia 8 tahun
0 comments :
Post a Comment