Tuesday, December 24, 2013

Umno ingin jaga kesucian Islam?



KEMENTERIAN Dalam Negeri ( KDN ) bercadang untuk perkenalkan rang undang undang baru dalam usaha memerangi fitnah dan penghinaan ke atas agama Islam dan institusi Raja, khasnya dari media alternatif. Demikianlah kenyataan Timbalan Menteri KDN, Datuk Dr Wan Junaidi di Dewan Negara baru baru ini  ( lihat Malaysian Insider 20 Disember 2013 ).


Komen saya kita tidak perlu undang undang memerangi fitnah kerana undang-undang sedia ada sudah cukup untuk memerangi fitnah. Kita sudah ada Akta Fitnah 1957 dan kita juga sudah ada seksyen 500 Kanun Keseksaaan untuk kesalahan fitnah. Benarkan media alternatif yang suka memfitnah dalam keadaan semua tahu Utusan Malaysia sering kalah di Mahkamah dalam kes fitnah?


Jaga institusi Raja? Bukankah Umno juara bertahan menghina institusi Raja? Jika tidak percaya tanyalah YB Datuk Seri Annuar Musa siapakah yang nak tabal Raja di bawah pohon Ketapang?


Mengenai Islam, sekali pandang nampak macam Umno benar-benar ingin menjaga kesucian Islam. Sebab itulah dicadangkan undang undang khusus untuk jaga agama Islam. Sudah tentu PAS akan ditempelak jika rang undang undang itu tidak dipersetujui oleh PAS.


Mungkin terlalu awal untuk dibuat satu komentar yang terperinci atas perkara tersebut di peringkat ini kerana kita masih kabur apakah bentuk dan isi undang undang itu . Cuma saya boleh jangkakan akan ada peruntukan untuk menghukum orang yang menghina kesucian Islam. Apakah hukumannya, itu kita kena tunggu pembentangannya di Dewan Rakyat kelak.


Adakah idea untuk mewujudkan undang undang ini datang dari wujudnya undang undang di beberapa buah negara Eropah yang melarang anti-Semitism (anti-Yahudi) masih tidak dapat dipastikan. Undang undang anti-Semitism menjadikan mana mana perbuatan yang dilihat membenci Yahudi sebagai perbuatan jenayah dan boleh dihukum. Di Perancis bekas cendekiawan Yahudi yang masuk Islam Almarhum Dr Roger Garaudy antara tokoh yang pernah didakwa dan dihukum di bawah undang-undang anti-Semitism ini.


Berbalik kepada cadangan KDN untuk mewujudkan undang-undang bagi menjaga agama Islam, perlukah diwujudkan undang-undang seperti itu?  Saya tidak fikir ianya satu keperluan. Kenapa kita perlu undang-undang ala anti-Semitism itu?


Islam, tidak seperti agama agama lain, adalah agama yang  berdiri tegas atas hujah (burhan) dan dalil. Ia insya Allah boleh menjaga dirinya sendiri kerana pemilik Islam adalah Allah. Jika Allah berjanji dalam Al Quran bahawa Allah yang menurunkan Al-Quran  dan Allah pasti akan menjaganya maka apa masalah untuk Allah menjaga Islam?


Apa yang Islam minta hanyalah ruang untuk ia dibenarkan menyeru manusia kepada Allah dengan secara hikmah, dengan nasihat yang baik ( mau’izah al hasanah ) dan dengan perdebatan (mujadalah) melalui kaedah yang paling terbaik. Jika ruang itu diberi nescaya Islam tidak perlu kepada undang undang khas ciptaan manusia untuk lindungi Islam. Umno perlu tahu bahawa manusia perlukan Islam bukannya Islam perlukan manusia.


Malangnya Umno  telah gagal membenarkan ruang selesa dan secukupnya untuk Islam berkembang secara baik. Sekatan sekatan yang berbentuk drakonian terlalu banyak diwujudkan di negara ini sekaligus ruang untuk  Islam berhujah dan berdialog serta mempamerkan kebenaran dan kecantikannya semakin kecil.


Keistimewaan Islam adalah ia tidak takut untuk dicerca , dikritik dan dihina oleh mana mana pihak selagi mana ia dalam masa yang sama dibenarkan untuk menjawab segala isu yang dibangkitkan untuk mempertikai Islam.


Saya pernah membaca bahawa Saidina Ali k.w.j. pernah dilaporkan berkata, “janganlah khuatir orang menghina atau mengkritik Islam kerana dengan kritikan itulah Islam mendapat peluang untuk mempamerkan kebenarannya”.


Sebab itulah seorang Atheist yang tidak percaya kepada Tuhan boleh menerima Islam apabila ia berani mendekati Islam dan berdialog dengan Islam. Sarjana Amerika Dr Jeffery Lang adalah seorang Ahteist sebelum masuk Islam. Beliau tidak percaya kepada Allah kerana dia merasa pelik bagaimanakah jika Allah benar-benar wujud dan mencipta alam dan manusia, Dia  juga dalam masa yang sama mewujudkan kebinasaan dan kerosakan di dunia ini.


Apabila beliau membaca terjemahan Al Quran di dalam surah Al Baqarah ayat 30, Dr Jeffery menemui jawapan kepada persoalan tersebut. Dalam syarahannya yang saya ikuti, beliau menyatakan persoalan yang terbenak dalam pemikiran beliau adalah persoalan yang sama yang Malaikat tanya kepada Allah. Malaikat, seperti Dr Jeffery, musykil mengapakah Allah ingin jadikan manusia sebagai khalifah-Nya di muka bumi sedangkan manusia suka membuat kerosakan dan menumpahkam darah sedangkan malaikat sentiasa bertasbih memuja dan memuji Allah.


Itulah kelebihan Islam. Ia tidak perlu undang-undang ciptaan manusia untuk menjaga kesuciannya. Satu perkara aneh adalah Umno/BN telah lama meninggalkan perintah Allah supaya ditegakkan undang undang Allah di bumi Malaysia ini. Kini Umno/BN pula nak buat undang-undang untuk menjaga kesucian Islam. Jika Umno/BN rasa Islam itu suci, mengapakah undang undang Islam kamu tinggalkan sekian lama?


Peliknya Umno, apa yang Allah perintahkan ia tidak mahu laksanakan sebaliknya apa yang Allah tidak perintahkan, itu yang ingin dilaksanakan.


Article source: http://sg.news.yahoo.com/kiram-declares-jihad-against-malaysia-085414183.html


Umno ingin jaga kesucian Islam?

0 comments :

Post a Comment