Saturday, February 8, 2014

Gesa tarik balik permit pesta muzik


  • Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor


ALOR SETAR – Kerajaan negeri digesa menarik balik permit penganjuran “Konsert Festival Muzik Planet Eupe” di Taman Air Carnival Eupe, Sungai Petani pada 1 Mac ini anjuran sebuah syarikat pemaju hartanah.



Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, sumber hiburan yang ada di negeri ini sudah lebih dari mencukupi untuk memenuhi kehendak masyarakat pelbagai bangsa.

     

Oleh itu, tidak perlu lagi membawa masuk hiburan dari luar seperti K-pop kerana boleh memberi kesan buruk kepada rakyat setempat.



Menurutnya, hiburan keterlaluan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kerana budaya hidup rakyat di negeri ini lebih mengutamakan kesederhanaan berbanding di bandar besar.



 

“Sepatutnya penganjur tidak buat festival muzik secara besar-besaran seperti itu di negeri ini kerana perlu menghormati sensitiviti agama, masyarakat dan budaya kita. Namun masih belum terlambat jika permit yang dikeluarkan ditarik semula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.



Beliau turut mempersoalkan pendirian kerajaan negeri dalam memberi kebenaran terhadap pelbagai program hiburan termasuk keagamaan.



“Kita amat mengalu-alukan usaha kerajaan negeri mengadakan banyak program keagamaan namun dalam masa yang sama mereka turut meluluskan banyak program hiburan. Jadi terasnya apa? Cenderung ke arah hiburan atau bagaimana?



“Mereka dilihat seolah-olah terlalu menjurus kepada budaya komersil dalam memberi kebenaran terhadap sesuatu program mengikut kehendak pasaran yang mempunyai kepentingan perdagangan tanpa mengambil kira pandangan semua pihak,” katanya.



Antara artis yang bakal menghiburkan Pesta Muzik Planet Eupe itu ialah penyanyi dan penulis lagu Yuna, penyanyi terkenal Najwa Latif dan penyanyi mandopop Wang Lee Hom.



Antara persembahan lain termasuk penyanyi elektro-pop dari Taiwan Jeannie Hsieh dan kumpulan K-Pop dari Korea Selatan U-Kiss.



Semalam, lebih 5,000 tanda tangan penduduk di kawasan berhampiran lokasi festival dikumpul bertujuan menyatakan bantahan terhadap penganjurannya kerana agama Islam sendiri melarang  acara hiburan yang keterlaluan, penganjuran dalam kawasan persendirian terbuka, menyentuh sensitiviti Islam dan gangguan terhadap ketenteraman dan kesejahteraan awam.


Article source: http://news.detik.com/read/2013/11/15/151406/2414295/10/strategi-menangkap-pencuri-ikan-indonesia-harus-belajar-dari-australia?9922032


Gesa tarik balik permit pesta muzik

0 comments :

Post a Comment