APABILA iklan kurma jenama Yusuf Taiyoob kembali ke udara di radio setelah hampir setahun tidak kedengaran, fikiran saya sedikit pun tidak terganggu. Malah, iklan itu mengingatkan lagi bahawa Ramadan bulan yang penuh berkah sudah semakin hampir. Tidak sampai 3 minggu lagi.
Bagaimanapun, fikiran saya jadi sedikit terganggu, apabila iklan-iklan mengenai jualan murah, tiba-tiba saja menjadi lebih meriah daripada hari-hari sebelum ini.
Bukan sebab saya ikut terpengaruh dan kaki saya bagaikan ditarik-tarik untuk menyerbu pasar raya dan kedai-kedai barangan elektrik berkenaan yang menawarkan promosi harga runtuh dan menggunakan slogan mesti beli itu.
Fikiran saya jadi begitu, sebab memikirkan berapa ramai pula kali ini yang tiba-tiba mahu menukar segala-galanya dengan yang baharu dan berapa ramai pula yang akan terpengaruh dengan promosi barangan murah sehingga barangan yang tidak perlu pun dibeli semata-mata sebab harganya murah.
Inilah saat dan ketikanya pihak peniaga tidak kira yang menjual produk apa pun pasti akan melancarkan strategi promosi besar-besaran untuk melariskan barangan mereka.
Sebabnya, umat Islam merupakan kuasa beli terbesar di negara ini. Kalau kita duduk diam-diam, tidak sibuk hendak menukar dan membeli itu dan ini, bisnes mereka tak jalanlah.
Jika kita lihat jualan barangan murah dan harga runtuh adalah lebih hebat dan meriah ketika umat Islam mahu menyambut Hari Raya berbanding sambutan perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.
Memang, puasa pun belum lagi tetapi di mana-mana saja termasuk di media-media baharu, banyak iklan yang tiada kaitannya dengan persiapan Hari Raya Puasa sudah timbul di sana sini.
Contohnya, iklan gajet untuk hari raya! Apa kena mengena beli telefon bimbit yang canggih untuk persiapan Hari Raya, apa kena mengena promosi program menurunkan berat badan dengan Hari Raya? Promosi tilam murah, rawatan dan produk kecantikan dan kaca mata?
Masa itulah juga promosi harga murah kereta tidak kira buatan tempatan atau luar negara giat berlangsung untuk menarik orang ramai beraya dengan kereta baharu. Itu belum masuk barangan hiasan rumah, perabot, barangan elektrik dan macam-macam lagi.
Bila semua peniaga memikirkan bahawa orang Melayu sanggup berhabis-habisan untuk hari raya dan bila semua produk hendak dikaitkan dengan Hari Raya maka timbullah promosi-promosi seperti ini.
Sebab itu, sebelum ini jualan arak pun dikaitkan dengan promosi sempena Hari Raya! yang menimbulkan kemarahan umat Islam. Walaupun arak itu tidak dibeli oleh orang Islam di pasar raya itu, tidak sepatutnya perkataan promosi sempena Hari Raya itu digunakan.
Sebab itu juga ada syarikat-syarikat kewangan yang telah mula menawarkan pinjaman peribadi khas untuk Hari Raya sehingga mencecah RM200,000! Antara peminjam yang disasarkan mereka adalah kakitangan kerajaan, badan-badan berkanun dan pesara-pesara kerajaan.
Kenapa perlu sampai membuat pinjaman peribadi yang wajib dilunaskan hingga bertahun-tahun lamanya untuk sebulan berhari raya? Kenapa perlu tambah hutang baharu. Tidak cukupkah hutang ansuran rumah, kereta, belanja dapur, persekolahan anak-anak dan macam-macam bil yang perlu ditolak setiap bulan?
Memang tidak boleh disalahkan 100 peratus kepada peniaga-peniaga yang membuat bermacam-macam promosi. Mereka mahu berniaga. Begitulah caranya. Kitalah sebagai pengguna perlu mengawal diri dan bijak mengatur perbelanjaan.
Sedangkan yang lebih diutamakan adalah menjalani ibadah puasa itu. Berebut-rebut beramal untuk mendapatkan ganjaran pahala dalam bulan berkenaan. Bukan berebut-rebut membeli barangan di pusat beli-belah atau sanggup meredah lautan manusia sambil mendukung anak-anak kecil hingga ke tengah malam di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Tidak ada siapa pun yang memaksa anda untuk berbelanja lebih. Dan tidak salah apa pun jika anda tidak berbelanja sakan untuk Hari Raya. Jika tidak ada segala-galanya baharu, Hari Raya tetap berjalan dan disambut juga. Jika tidak mampu, berbelanjalah mengikut kemampuan. Islam turut melarang kita memudaratkan diri sendiri dan keluarga.
Dan dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya, jangan pula disebabkan rambang mata, hilang terus semangat meneruskan jihad ekonomi kita! Jangan hangat-hangat tahi ayam.
Article source: http://www.suarapembaruan.com/home/dicecar-soal-artis-hot-masuk-ppp-lukman-hakim-tolak-berkomentar/34700
Promosi tagih umat Islam lariskan bisnes mereka
0 comments :
Post a Comment