Friday, July 26, 2013

Israel batal rancangan tutup masjid

BAITULMAQDIS 25 Julai – Pihak berkuasa Israel yang sebelum ini mahu menutup Masjid Ibrahim di Hebron selama sehari pada salah satu malam ganjil sempena Lailatul Qadar, terpaksa menarik balik keputusan tersebut.


Keputusan yang mendapat pelbagai kecaman itu dibuat dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas ia diumumkan semalam.


Menurut Pengarah Hebron Waqf, Tayseer Abu Sneineh, Israel pada mulanya melarang masyarakat Islam memasuki masjid tersebut bermula malam Ahad ini hingga keesokan hari bagi membolehkan penduduk Yahudi meraikan hari pertama bulan Ayloul mengikut kalendar agama mereka.


“Namun, Israel menarik balik larangan itu dan membuat keputusan bahawa masjid tersebut akan dibuka pada malam Isnin dan ditutup pada keesokan harinya bermula pada pukul tujuh pagi hingga 10 malam,” katanya.


Lailatul Qadar adalah malam di mana Allah SWT menurunkan ayat al-Quran pertama kepada Nabi Muhammad SAW untuk pedoman manusia.


Pada malam tersebut, umat Islam akan menghabiskan masa dengan mengabdikan diri kepada Allah, sama ada di rumah atau masjid.


Keputusan Israel itu sebelum ini mendapat tentangan daripada kerajaan Palestin.


Menurut Menteri Hal Ehwal Agama Palestin, Mahmoud al-Habash, tindakan Israel menutup masjid tersebut pada malam penting dalam bulan Ramadan adalah tidak masuk akal.


“Masjid Ibrahim merupakan satu daripada masjid terpenting di Palestin dan kami tidak akan menurut arahan Israel,” ujarnya.


Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. – AGENSI



Article source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/sudut-dakwah/21005-contohi-diet-rasulullah


Israel batal rancangan tutup masjid

0 comments :

Post a Comment